San Soon Seng Food Industries Sdn Bhd adalah sebuah Syarikat yang berpusat di Malaysia dan telah menjadi peneraju yang dikenali dalam industri pembuatan ramuan makanan dan minuman sejak 1977, menandakan 46 tahun operasi yang mengagumkan. Syarikat ini bermula sebagai pengeluar karamel cecair, seterusnya San Soon Seng telah mengembangkan rangkaian produknya kepada pelbagai jenis bahan makanan, seperti pewarna caramel, sirap, cuka, protein soya dan banyak lagi seiring dengan penambahan tahun. Dengan komitmen terhadap kualiti dan keselamatan makanan, San Soon Seng telah memperoleh pensijilan seperti Kosher dan Halal bagi memastikan kesesuaian produk mereka untuk pelbagai pasaran dan pilihan pelanggan.
Kami menemubual Janice Fang, seorang pengurus di San Soon Seng Food Industries.
Kosher OU: Bolehkah anda berkongsi dengan kami tentang latar belakang dan peranan anda dalam syarikat ini?
Janice Fang: Saya telah bekerja dengan syarikat ini selama 20 tahun. Selepas sahaja saya tamat pengajian, ini merupakan pekerjaan pertama saya. Dengan latar belakang kimia, saya bermula di bahagian kualiti dan kini saya juga bertanggungjawab dalam pembangunan perniagaan, mengendalikan ramai pelanggan utama kami. Saya merupakan individu yang memulakan permohonan pensijilan Kosher OU. Dan kini saya mempunyai pasukan yang menguruskan operasi harian dan penyelenggaraan sistem pensijilan.
Kosher OU: Bolehkah anda memberi kami gambaran keseluruhan tentang syarikat anda serta perniagaan dan produk utamanya?
Janice Fang: San Soon Seng Food Industries merupakan sebuah syarikat yang berpusat di Malaysia. Kami telah berada dalam industri pembuatan bahan makanan dan minuman sejak 1977. Tahun ini menandakan 46 tahun kami dalam perusahaan ini. Kami adalah anak syarikat milik penuh Three-A Resources Berhad, yang merupakan salah satu syarikat awam tersenarai di dalam Bursa Malaysia. Pada awalnya, syarikat kami ditubuhkan hanya sebagai pengeluar pewarna caramel dan produk ini sahaja yang dihasilkan pada waktu itu.
Secara beransur-ansur, melalui kerja keras dan ketekunan, kami mengembangkan lagi rangkaian produk kami untuk menghasilkan bahan makanan lain seperti sirap glukosa, sirap maltosa tinggi, cuka dan sos protein soya yang juga dikenali sebagai protein sayuran terhidrolisis. Kami juga mempunyai sirap gula emas. Kami mengembangkan lagi produk kami dalam bentuk serbuk dengan menghasilkan serbuk karamel, maltodekstrin dan pepejal sirap glukosa.
Kosher OU: Di manakah anda mendapatkan bahan-bahan mentah? Adakah bahan mentah tempatan?
Janice Fang: Kebanyakan bahan mentah kami adalah diimport. Bahan mentah utama yang kami gunakan adalah kanji seperti kanji jagung dan kanji ubi kayu. Kami juga menggunakan gula yang ditapis. Ini adalah beberapa bahan utama yang kami gunakan, termasuklah kacang soya yang digunakan untuk produk protein sayuran terhidrolisis. Kecuali gula, bahan mentah utama lain adalah diimport.
Kosher OU: Bagaimana pula dengan pensijilan untuk produk anda? Adakah kesemuanya disahkan oleh Kosher OU?
Janice Fang: Semua produk kami disahkan oleh OU. Maksudnya semua bahan perlu diperakui Kosher.
Kosher OU: Adakah anda bertanggungjawab untuk mendapatkan bahan mentah dan memastikan pensijilan mereka diperakui?
Janice Fang: Kami mempunyai pasukan yang bertanggungjawab ke atas pembelian bahan mentah. Syarikat kami juga mendapat pensijilan FSSC 22000, yang merupakan sistem pengurusan keselamatan dan kualiti makanan yang diiktiraf. Dengan sistem itu, kami mempunyai kawalan ke atas pembelian dan pengurusan pembekal. Dengan ini, kami menyatukan keperluan pensijilan Kosher ke dalam sistem keselamatan dan kualiti makanan kami.
Bagi proses pembelian dan pemilihan sumber bahan mentah, kami mempunyai senarai kriteria yang perlu dipenuhi. Salah satu keperluan adalah dengan memastikan pembekal memiliki pensijilan Kosher. Kemudian bahagian kualiti kami akan menilai pensijilan, kualiti dan keselamatan produk sebelum bahagian pembelian kami mengadakan perbincangan dengan pembekal.
Kosher OU: Berapa kerap anda perlu menukar bahan mentah dan ramuan anda?
Janice Fang: Tidak terlalu kerap. Kami mempunyai sekumpulan pembekal dan untuk bahan utama, kami biasanya mempunyai beberapa pembekal alternatif. Ini bagi memastikan bekalan bahan mentah yang konsisten dan mengelakkan sebarang pensijilan telah tamat tempoh yang boleh mengganggu pengeluaran kami.
Kosher OU: Bagaimanakah anda menyemak bahawa pembekal masih disahkan oleh Kosher?
Janice Fang: Kami mempunyai pekerja di bahagian kualiti yang bertanggungjawab ke atas pengurusan pembekal. Mereka mempunyai senarai semak yang akan dinilai bagi semua bahan mentah yang diluluskan untuk pembelian. Pembekal dikehendaki menyertakan sijil yang masih sah tempoh untuk bahan-bahan yang dibeli dan kami akan menyimpan salinan sijil tersebut. Maklumat ini akan disimpan di dalam sistem pengesanan dan bahagian jaminan kualiti (QA) kami akan sentiasa memantau sistem tersebut. Mereka akan meminta pembekal untuk melampirkan sijil baharu tiga bulan sebelum tarikh luput. Sekiranya terdapat sebarang masalah dalam mendapatkan sijil yang telah dikemas kini, kami akan memaklumkan kepada bahagian pembelian untuk mencari pembekal lain sebagai alternatif jika perlu.
Kosher OU: Adakah anda tahu berapa lama anda telah disahkan Kosher? Berapa tahun?
Janice Fang: Saya percaya sudah sekitar 15 tahun. Ya, saya memulakan inisiatif untuk mendapatkan pensijilan Kosher sebaik sahaja saya menyertai syarikat ini dan saya yang bertanggungjawab ke atas permohonan pensijilan.
Kosher OU: Adakah anda tahu mengapa syarikat anda memutuskan untuk mendapatkan pensijilan Kosher?
Janice Fang: Kami ingin menembusi pasaran lain terutamanya pasaran US, di mana pensijilan Kosher adalah keperluan yang mendapat permintaan tinggi. Pada masa itu, pensijilan Kosher tidak diiktiraf secara meluas di Malaysia atau Asia. Kami menjangkakan permintaan pelanggan yang berpotensi dalam masa terdekat dan kami percaya bahawa dengan adanya pensijilan Kosher, kebolehpasaran produk kami akan meningkat dengan ketara di negara lain.
Kosher OU: Siapakah yang menjalankan penyelidikan dan menyedari kepentingan pensijilan Kosher sedangkan ia tidak terkenal di Malaysia?
Janice Fang : Sebenarnya, kami mempunyai pelanggan yang bertanya tentang beberapa produk dan bertanya tentang pensijilan Kosher. Walaupun jumlah pembelian mereka agak kecil pada masa itu, kami menyedari permintaan yang semakin meningkat dan mahu mengembangkan penawaran produk kami. Keputusan untuk meneruskan pensijilan Kosher didorong oleh jangkaan terhadap aliran pasaran pada masa hadapan.
Kosher OU: Adakah anda berurusan terutamanya dengan pengeluar di Amerika Syarikat?
Janice Fang: Amerika Syarikat bukanlah pasaran eksport utama kami. Pasaran eksport utama kami adalah di rantau Asia Pasifik. Walau bagaimanapun, syarikat kami telah bekerjasama dengan banyak syarikat multinasional sejak 40 tahun yang lalu. Oleh itu, banyak produk kami digunakan dalam produk yang dijual di AS.
Kosher OU: Adakah pensijilan Kosher memainkan peranan dalam menembusi pasaran import di Eropah? Adakah ianya juga penting di Eropah?
Janice Fang: Ya, pensijilan Kosher juga penting di Eropah dan ia adalah keperluan yang mempunyai permintaan tinggi. Jika anda tidak mempunyai pensijilan Kosher, ia boleh mengehadkan akses anda kepada banyak pasaran dan aplikasi, terutamanya untuk syarikat multinasional. Mereka memerlukan pensijilan ini untuk bahan mentah mereka dalam produk yang diperakui Kosher yang dijual di AS, Eropah dan negara lain.
Kosher OU: Adakah pensijilan Kosher OU diminta secara khusus, atau adakah syarikat meminta pensijilan Kosher dari mana-mana badan pensijilan lain?
Janice Fang: Walaupun syarikat mungkin tidak meminta pensijilan secara khusus daripada OU, akan tetapi OU adalah salah satu badan pensijilan Kosher antarabangsa yang terbesar dan paling diiktiraf di dunia. Mempunyai logo OU pada produk dan pensijilan adalah diambil kira. Jika anda memperolehi sijil daripada badan pensijilan yang lebih kecil, anda mungkin menghadapi lebih banyak soalan dan pertanyaan tentang latar belakang mereka. Dengan OU, anda tidak akan menghadapi masalah tersebut kerana ia adalah badan pensijilan yang diiktiraf dengan baik.
Kosher OU: Adakah kemampanan penting bagi organisasi anda? Adakah anda terlibat secara langsung?
Janice Fang: Ya, kemampanan menjadi semakin penting kepada kami. Saya adalah sebahagian daripada pasukan yang bertanggungjawab untuk mengekalkan kemampanan dan kami mempunyai jawatankuasa khusus untuknya. Kami memberi tumpuan kepada pelbagai aspek kemampanan dalam organisasi kami.
Kosher OU: Adakah syarikat anda melabur dalam penyelidikan dan pembangunan untuk produk baharu?
Janice Fang: Ya, kami melabur dalam penyelidikan dan pembangunan untuk produk baharu. Selama bertahun-tahun, kami telah mengembangkan portfolio produk kami daripada pengeluar kecil caramel cecair kepada pengeluar yang menawarkan pelbagai bahan makanan. Pengembangan ini adalah hasil daripada penyelidikan, pengalaman dan permintaan pasaran.
Kosher OU: Bolehkah anda menyenaraikan mana-mana syarikat yang menggunakan pewarna karamel anda dalam produk mereka?
Janice Fang: Saya minta maaf, tetapi kami mempunyai perjanjian kerahsiaan dengan kebanyakan syarikat multinasional yang bekerjasama dengan kami, jadi kami tidak boleh mendedahkan nama mereka. Kami menghormati perjanjian kerahsiaan yang kami ada.
Kosher OU: Apakah jenis latihan yang anda sediakan untuk pensijilan Kosher dan pensijilan lain dalam organisasi anda?
Janice Fang: Latihan adalah penting untuk pekerja kami memahami keperluan dan latar belakang pensijilan Kosher dan pensijilan lain. Kami mempunyai sesi latihan tetap untuk keselamatan dan kualiti makanan, serta sasaran khusus untuk latihan tahunan. Pensijilan Kosher disertakan sebagai sebahagian daripada sistem kawalan kami dan kami menyediakan latihan kepada pekerja kami untuk memastikan mereka memahami undang-undang Kosher, keperluan dan prosedur yang diperlukan untuk pembelian, kawalan kualiti dan penerimaan bahan mentah. Kami juga berkongsi maklumat baharu melalui e-mel, memorandum dan pemberitahuan untuk topik yang lebih kompleks.
Kosher OU: Pernahkah anda menemui seseorang yang memahami pensijilan vegan tetapi tidak memahami pensijilan Kosher? Bagaimanakah anda menerangkan apa itu kosher?
Janice Fang: Ya, itu berlaku apabila kami mula-mula memperoleh pensijilan Kosher beberapa tahun yang lalu. Sesetengah orang tidak biasa dengan konsep Kosher dan tidak tahu maksudnya, termasuk undang-undang dan keperluan pemakanan Jewish. Walau bagaimanapun, saban tahun setelah pekerja kami memperoleh lebih banyak pengetahuan dan pengalaman, mereka berkongsi pengetahuan itu dan memberi latihan kepada orang lain.
Kosher OU: Adakah anda secara peribadi tahu apa-apa tentang Kosher sebelum mengikuti pensijilan Kosher? Adakah anda biasa dengannya?
Janice Fang: Pada mulanya, saya mempunyai pemahaman umum bahawa pensijilan Kosher berkaitan dengan keperluan diet Jewish. Walau bagaimanapun, apabila kami memahami peraturan Kosher, saya mula menyelidik melalui dalam talian dan memilih OU sebagai badan pensijilan kami. Saya melayari laman sesawang mereka dan membaca panduan tersebut, yang disampaikan dengan tepat dan jelas. Ini membantu saya memahami peraturan, dokumen dan borang serta perkara yang diperlukan sepanjang proses pensijilan. Secara keseluruhannya, proses pensijilan adalah lancar, jelas, mudah dan cekap. Walau bagaimanapun, bagi kebanyakan pekerja kami, mereka haruslah mempunyai sedikit pengetahuan atau pendedahan kepada pensijilan atau makanan Kosher.
Kosher OU: Adakah terdapat persamaan antara pensijilan Kosher dan Halal?
Janice Fang: Kami juga disahkan halal, jadi terdapat beberapa persamaan antara kedua-dua pensijilan tersebut. Walau bagaimanapun, keduanya adalah tidak sama. Sesetengah keperluan adalah khusus untuk pensijilan Halal dan tidak diperlukan untuk pensijilan Kosher, begitulah sebaliknya. Terdapat beberapa perbezaan tertentu dari segi kawalan dan dokumentasi.
Kosher OU: Sebagai seseorang yang terlibat dengan peraturan keselamatan makanan, apakah bahagian pekerjaan yang paling mencabar bagi anda?
Janice Fang: Saya boleh katakan semua aspek pekerjaan saya mencabar. Dari segi keperluan keselamatan dan kualiti makanan, permintaan pelanggan yang berterusan, peraturan – peraturan dan pembaharuan standard, kami perlu sentiasa mengemas kini dan kadangkala menaik taraf fasiliti kami bagi memenuhi keperluan baharu. Ini pencetus cabaran bagi keseluruhan sistem kami.
Kosher OU: Bagaimanakah cara anda menarik perniagaan baharu dan menguar-uarkan tentang produk anda kepada pengeluar makanan lain?
Janice Fang: Kami mempunyai laman sesawang di mana kami mempublikasikan maklumat tentang produk kami. Orang ramai boleh menghubungi kami melalui laman sesawang tersebut. Selain itu, pasukan jualan kami terlibat secara aktif dalam lawatan perniagaan untuk menarik bakal pelanggan. Selama bertahun-tahun, kami telah membina kepercayaan dan hubungan jangka panjang dengan banyak pengeluar makanan multinasional. Ini telah membawa kepada penghubungan dan pengembangan ke lokasi yang berbeza. Kepercayaan dan reputasi telah memainkan peranan penting dalam menarik pelanggan baharu.
Kosher OU: Apakah yang membezakan syarikat anda daripada syarikat lain yang menghasilkan produk yang serupa? Apa yang membuatkan anda berbeza?
Janice Fang: Salah satu faktor utama yang membezakan ialah kami mempunyai semua pensijilan yang diperlukan. Produk kami diperakui Kosher dan memberikan pelanggan keyakinan bahawa mereka boleh menggunakan produk kami dengan selamat untuk kegunaan mereka. Kami juga mempunyai pensijilan Halal dan pensijilan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia. Dari segi kualiti dan keselamatan produk, kami mempunyai standard yang tinggi. Kami juga mengutamakan komunikasi yang berkesan dengan pelanggan kami dengan memahami keperluan mereka dan menyediakan sokongan teknikal apabila diperlukan. Kami mempunyai ramai pelanggan yang setia dan telah bersama kami selama bertahun-tahun, dan kami sentiasa berusaha untuk membina hubungan jangka panjang. Selain itu, kami menawarkan pengubahsuaian produk untuk memenuhi keperluan khusus, yang membezakan kami daripada yang lain.
Kosher OU: Adakah anda membangunkan dan menawarkan pengubahsuaian produk untuk syarikat tertentu?
Janice Fang: Ya, kami melakukan banyak pengubahsuaian produk. Apabila pelanggan mempunyai keperluan khusus dan memerlukan produk yang bersesuaian, kami bekerjasama secara menyeluruh dengan mereka untuk membangunkan dan memperhalusi produk. Kami menyediakan bantuan dalam aplikasi untuk memenuhi keperluan khusus pelanggan. Kami telah terlibat dalam projek yang berlangsung selama satu atau dua tahun untuk memastikan produk akhir memenuhi keperluan unik mereka.
Kosher OU: Bolehkah anda berkongsi perkara paling penting yang anda akan beritahu kepada syarikat yang sedang mencari pembekal?
Janice Fang: Saya akan menekankan bahawa mereka harus melihat kualiti produk kami dan pensijilan yang kami perolehi, kerana menggunakan produk kami dijamin keselamatannya. Kami menyediakan perkhidmatan dan bekerja rapat dengan pelanggan kami untuk memenuhi keperluan dan memastikan produk mereka selamat. Dalam dunia semasa, keselamatan makanan adalah isu kritikal, dan kami berhasrat untuk menghalang penarikan balik produk atau publisiti negatif. Kepentingan keselamatan dan kualiti tidak boleh dipertikaikan.
Kosher OU: Senang mendengarnya, dan jelas bahawa kepercayaan dan keselamatan makanan adalah penting dalam perniagaan anda, sama seperti dalam pensijilan Kosher. Membina kepercayaan memerlukan masa yang panjang tetapi ianya boleh bertahan untuk beberapa generasi. Adakah terdapat apa-apa lagi yang anda ingin berkongsi dengan syarikat lain?
Janice Fang: Jika ada perkara yang syarikat lain ingin tahu tentang syarikat kami, mereka dialu-alukan untuk menghubungi kami. Saya juga ingin merakamkan penghargaan dan pujian kepada Kosher OU atas sokongan dan kerjasama yang sangat baik yang telah kami bina selama ini. Terus terang, kami mempunyai pengalaman yang sangat positif bekerjasama dengan OU. Walaupun saya tidak boleh mengulas untuk badan pensijilan lain kerana saya tidak bekerjasama dengan mereka, saya boleh berkongsi bahawa Rabbi yang melawat memberikan nasihat yang berguna. Dia benar-benar memahami proses pengeluaran, bahan mentah dan operasi kami, serta memberikan pendapat jujur yang membimbing kami dalam membuat keputusan. Kami amat menghargai komunikasi beliau yang jelas dan jujur.
Kosher OU: Terima kasih kerana berkongsi pengalaman positif anda, dan saya gembira mendengar bahawa bekerjasama dengan OU merupakan pengalaman berharga bagi syarikat anda. Senang bercakap dengan anda dan terima kasih atas masa yang diluangkan.
Janice Fang: Terima kasih juga dan saya berkongsi dengan senang hati.

